Salam
Sementelah agak bersenggang waktu, maka dapatlah saya membalas komen dari posting ini. Kelihatan agak hambar dari reply-reply tetapi ada jua yang menghantar message personally berkenaan posting ini. Ada yang bertanyakan alamat blog saya, malangnya saya bukanlah penulis blog yang hanya mencerca menerusi penulisan berkala dan kadang-kala kelihatan menulis isu-isu yang tak kunjung habis.
Penulisan saya bukanlah satu isu berkala tetapi adalah luahan hati saya sendiri yang dikumpulkan sekian lama sehingga berjela-jela panjangnya…. Tetapi perasaan dan rasa tidak puas hati itu tidaklah boleh diukur dengan panjangnya jengkal atau lebarnya hasta kerana saya yakin bahawa satu masa nanti akan berlaku perubahan untuk membela orang melayu, Islam dan keseluruhan kaum di Malaysia, keyakinan saya itu tidak kepada parti lain melainkan UMNO sahaja. Ingin saya tegaskan di sini bahawa penulisan saya itu bukanlah dengan niat menghentam mana-mana pihak tetapi ianya adalah satu luahan ikhlas dari hati saya tanpa apa-apa prejudis. Saya menulisnya dengan takunga air mata yang ditahan tertumpah dengan harapan bangsa saya menjadi satu bangsa berdaulat yang bermaruah di masa depan. Tiada lain yang mampu saya wariskan untuk anak cucu saya kelak :- harta bisa habis dipunah zaman, iman bisa terkakis oleh asid sosial – melainkan darah genetik dan semangat perjuangan bangsa melayu!
Untuk menjadi bangsa yang berdaulat dan bermaruah tidak akan cukup dengan kekuasaan siasah sahaja tetapi ianya melibatkan sahsiah, ekonomi, sains, semangat dan iltizam. Pernah saya nyatakan kepada rakan-rakan bahawa Malaysia bukanlah sebuah negara biasa tetapi Negara Ajaib yang dipimpin oleh manusia-manusia sakti, dalam 6 Perdana Menteri Malaysia, 2 daripadanya adalah manusia sakti yang mempunyai markah melebihi 100% berbanding pemimpin dunia yang lain. Jika dibandingkan Malaysia dengan Negara-negara lain, mudahnya kita ambil Indonesia yang serumpun seagama dengan majoriti kita, kita boleh lihat perbedaan yang ketara – Jika bangsa dikaitkan dengan kemajuan sesebuah negara inilah bandingannya. Kemajuan dan kemakmuran Malaysia jauh berbeza – Indonesia mempunyai ras bangsa yang sama dengan orang melayu – juga mempunyai ramai orang cina tetapi mengapa wujud perbezaan dari semua segi dengan Malaysia? Begitu juga Negara lain yang merdeka lebih awal berbanding Malaysia.
Malaysia didirikan atas harapan nenek moyang kita untuk melihat bangsanya maju dan berjaya. Malaysia sebuah negara dalam gugusan nusantara yang asal penduduknya berbangsa melayu, atas sikap dan geografinya yang terbuka maka berduyun-duyunlah manusia dari segenap pelusuk dunia berhijrah ke sini untuk merubah hidup. Yang Jawa datang berjong, yang Bugis datang berpanisi, yang Riau datang berlancang dengan penuh harapan – berjuang untuk merubah hidup. Begitu juga dengan orang cina dan india yang berhijrah ke sini untuk merubah hidup. Bukan untuk diri mereka semata-mata tetapi untuk kesenangan anak cucu. Tanah yang kita kepal hari ini di bumi ini bukanlah tanah kosong sahaja, tetapi adalah tanah yang mengandungi semangat perjuangan dan harapan nenek moyang kita.
Dasar Ekonomi Baru yang diwujudkan untuk membantu orang melayu dari sudut ekonomi disalahertikan seolah-olah kerajaan memberikan ikan percuma kepada orang melayu – inilah silapnya bila akhirnya orang melayu sentiasa mahukan ikan yang terbaik, besar dan mahal. Apabila ikan itu semakin kecil dan tidak bermutu, orang melayu akan menyalahkan kerajaan. Dasar Ekonomi Baru bukanlah untuk memberikan ikan percuma kepada orang melayu tetapi adalah satu period yang ditoleransikan oleh pelbagai kaum di Malaysia untuk membolehkan orang melayu belajar memancing sendiri ;- belajar mengenal umpan, mengukur dalam ceteknya lautan dan bertatih mengayuh perahunya sendiri ke tengah lautan. Selepas period 20 tahun itu, Dasar Ekonomi Baru diperbaharui semula kerana kegagalan orang melayu mencapai agenda kemajuan.
Ini adalah kerana sikap orang melayu yang berterusan beranggapan bahawa Dasar Ekonomi Baru sebagai satu dasar seolah-olah kerajaan memberikan ikan percuma untuk mereka dan akhirnya mereka menjadi bangsa subsidi kelas pertama dengan minda kelas ketiga. Terlalu banyak peluang yang diberikan kerajaan kepada orang melayu untuk merubah hidup mereka dan akhirnya bila hari ini bila subsidi itu ditarik satu persatu, mereka melenting. Dalam suasana politik hari ini, orang melayu lebih rela kebuluran dari bergegas ke laut untuk memancing sendiri dan semasa mengelupur mampus kebuluran mereka menyalahkan kerajaan. Itulah bandingannya dan akhirnya mengalih undi kepada parti lain yang menawarkan ikan percuma – besar dan bermutu… Kekal abadi sebagai bangsa subsidi!
Dasar Ekonomi Baru akhirnya menjadi pukulan maut kepada orang melayu bilamana ianya gagal dimenfaatkan oleh melayu minda kelas ketiga ini. Bangsa tidak menentukan kejayaan sesebuah Negara – sebagai buktinya kita lihat kepada Korea Utara dan Korea Selatan. Korea Selatan kaya raya sedangkan Korea Utara ramai yang kebuluran. Begitu juga dengan Jerman Timur dan Jerman Barat. Ini bukan sahaja disebabkan dasar kapitalis vs Komunis tetapi sejauh mana seseorang itu sanggup berjuang berusaha untuk dirinya dan warisannya dihari muka.
Apakah kaitannya dengan Isu Penggunaan Nama Allah?
Dalam konteks ini, saya melihat UMNO terutamanya Pemuda terlalu lembik menangani pelbagai isu kerana tembolok masing-masing telah penuh ikan percuma subsidi kerajaan dan tubuh mereka membuyut kegemukan akibat lemak-lemak ikan yang telah lama terkumpul. Kekuatan Pemuda bukan sekadar membuat kenyataan longlai tetapi kekuatan Pemuda bisa mencetuskan peperangan antara dua negara, dan bukti kekuatan Pemuda adalah Peristiwa 13 Mei. Bukanlah maksud saya supaya Pemuda menganjurkan perjuangan berdarah tetapi kegagalan Pemuda menangani isu ini secara bijaksana dari awal adalah tidak boleh diterima. Memalukan!
Kekuatan Pemuda sebenar adalah keupayaan mereka menggerakkan semua Pemuda di seluruh Negara tidak kira apa parti dan apa bangsa. Keupayaan Pemuda boleh menumbangkan kerajaan dan melumpuhkan negara. Kehendak rakyat adalah perjuangan Pemuda. Perjuangan Rakyat – Pemuda di barisan hadapan.
Tetapi apa fungsi dan matlamat Pemuda hari ini??? Menjadi Kontraktor Kelas F sahajalah nampak gayanya. Itulah kejayaan Pemuda UMNO – dulu-kini-dan selamanya! Melahirkan Kontraktor Melayu Kelas F dan melobi Projek Bumiputera untuk Bukan Bumiputera.
Fungsi Pemuda terlalu banyak…. Pemuda perlu mengubah sikapnya untuk kembali kepada tradisinya semula. Bukan semata-mata sayap pondan yang memomokkan ikan percuma tetapi kembali menjadi Pressure Group yang menggerakkan kesedaran bangsa dan menjadi pemulih perjuangan Islam…. Pemuda perlu melaksanakan Malays Restoration – bukan memulihkan Keangkuhan Ketuanan Melayu tetapi memulihkan sikap orang melayu….Tapi apakan daya… Minda Pemuda cuma minda kelas Ketiga - Kontraktor Kelas F!